Bahasa Arab Sangat Penting

Bahasa Arab Sangat Penting

Dua tiga hari ini, saya lihat isu penguasaan bahasa Arab berlegar di FB saya. Dari yang sekecil-kecil penuntut ilmu, sehinggalah yang bertaraf tok guru.

Saya sudah lama menahan diri komen tentang isu ini. Jika jumpa kesalahan, saya akan berkata di dalam hati: “Kesian, tak pandai bahasa Arab”. Kadangkala saya bermonolog dalam bahasa Jawa: “Melase, goblok rupane”. Dalam masa yang sama, saya juga bermuhasabah diri dengan kekurangan yang dimiliki. Mungkin dia tidak tahu tentang itu, tetapi dia tahu banyak lagi tentang yang lain.

Bahasa Arab ini perlu dikuasai sebaik mungkin bagi seorang penuntut ilmu, baik tulisan mahupun percakapan. Saya sering mengingatkan pelajar saya di pondok agar memberi perhatian terhadap bahasa Arab. Saya juga memberitahu mereka bahawa suatu hari nanti, saya akan duduk mendengar ceramah yang disampaikan oleh mereka. Jadi, kuasailah bahasa Arab sebaiknya.

Kadangkala saya rasa begitu hairan, bagaimana seseorang yang asas bahasa Arabnya begitu teruk berani ke hadapan untuk bercakap perkara-perkara yang besar dan mengajar orang lain.

Jika kita bodoh, sedarlah diri. Carilah guru yang boleh mengajarkan kita. Bukannya menonjolkan diri membuat pengajian-pengajian lalu menyerlahkan lagi sudut kelemahan diri kita. Semoga Allah merahmati mereka yang tidak tahu dan mengambil inisiatif untuk belajar.

Leave a Reply

%d bloggers like this: