Cacar Monyet Perlu PKP ?

Cacar Monyet Perlu PKP ?

Persediaan awal hadapi Covid-19, cacar monyet tidak memungkinkan PKP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Persediaan awal yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM) dalam berdepan dengan peningkatan kes Covid-19 dan kebarangkalian penularan jangkitan cacar monyet dalam negara tidak memungkinkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mahupun kawalan sempadan negara.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setakat ini jangkitan cacar monyet dan peningkatan kes Covid-19 di dalam negara masih terkawal.

“Daripada laporan KKM tadi semua dalam keadaan terkawal, mereka pantau dengan ada langkah yang mereka telah dan sedang ambil… yang agak merunsingkan sebab banyak negara lain ada peningkatan kes tetapi di Malaysia ada sedikit namun tidak mengganggu usaha yang sedang dibuat untuk mengawal keadaan.

“Tadi juga ada disebutkan tentang monkeypox namun keadaannya terkawal di Malaysia. Daripada penjelasan KKM tadi, mereka sudah bersedia dengan pengalaman lebih dua tahun uruskan pandemik Covid-19 beri mereka banyak pengajaran, mereka sudah ambil segala langkah perlu, kita harap tidak akan berulang semula cerita-cerita dahulu yang sebabkan kita terpaksa kawal sempadan atau kenakan PKP,” katanya.

Muhyiddin berkata, berdasarkan laporan KKM, MPN juga berpuas hati bahawa KKM telah bersedia menghadapi apa sahaja bentuk kemungkinan sekiranya wabak berkenaan muncul kembali.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, MPN bersetuju dengan saranan KKM bagi mempertingkatkan pengawasan dan advokasi mengenai monkeypox termasuk mempertingkatkan pengawasan di pintu masuk antarabangsa negara.

Katanya, bagi pengembara yang tiba dari negara yang melaporkan cacar monyet, mereka dinasihatkan memantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan cacar monyet untuk tempoh 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia.

“Pengembara bukan warga negara yang tiba dari negara terbabit akan menerima mesej kesihatan pop-naik setiap hari untuk mengingatkan mereka agar memantau gejala jangkitan monkeypox dan status kesihatan.

“Selain itu, memberikan nasihat kesihatan kepada pengembara Malaysia ke negara-negara yang terdapat kejadian monkeypox terutamanya di Afrika Tengah dan Afrika Barat,” katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengingatkan semua pusat kemudahan kesihatan agar peka dengan situasi semasa cacar monyet serta meningkatkan pengesanan kes dalam kalangan pesakit yang berisiko susulan pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa jangkitan wabak itu kini adalah Kejadian Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC).

Katanya, sebanyak sembilan kes disyaki cacar monyet telah dinotifikasi kepada KKM setakat 23 Julai dan kesemuanya disahkan negatif.

Disiarkan pada: Julai 26, 2022 @ 5:39pm

© 2022 Harian Metro, New Straits Times Press (M) Bhd.

Leave a Reply

%d bloggers like this: