Ilmu Agama Gaya Pondok

Ilmu Agama Gaya Pondok

3 Peringkat Belajar Ilmu Agama Gaya Pondok

Baru-baru ni masa anak-anak bujang madrasah balik cuti Raya Korban, sempat berbincang dengan mereka adab dan kaedah dalam belajar ilmu.

Belajar ilmu agama wajib dengan cara berguru kepada yang alim dan faqih serta bersanad.

Mereka keluarkan apa yang mereka belajar secara talaqqi, saya keluarkan apa yang saya dengar dan belajar.

Sangat berkesan, tinggi adab dan kaedahnya. Dan saya nampak, kaedah ini boleh digunakan juga di dalam disiplin ilmu selain agama.

Sampai kami dapat diringkaskan, untuk seseorang itu belajar ilmu terutamanya ketika belajar ilmu agama, adabnya ada 3 peringkat iaitu :

=========
Mentelaah
=========

Ini peringkat awal sebelum seseorang pelajar itu pergi bertalaqqi dengan gurunya. Kitab asas yang dipelajarinya adalah kitab berbahasa arab.

Ketika mentelaah atau ulangkaji ini, pelajar itu sudahpun mendapat isyarat dari gurunya bab dan bahagian mana yang akan mereka talaqqi selepas dari itu.

Di dalam tahap ini, ada beberapa peringkat juga.

1. Membaca matan dan bahas sendiri maksud matan dari pemahamannya sendiri secara bertulis, tanpa merujuk kepada syarah ulama di dalam kitab.

Pelajar akan keluarkan perbahasannya sendiri sehingga rasa itu yang paling ia fahami dengan fahaman yang betul tentang matan tersebut. Ini untuk uji kefahaman pelajar atas matan tersebut.

2. Selepas itu, baru baca serta fahami syarah ulama dan bandingkan perbahasan akhir fahamannya tadi dengan syarah ulama atas matan tersebut.

Di sini pelajar belajar meluruskan pemahamannya atas tafsir sesuatu hadis dengan melihat perbezaan pemahaman antara dirinya dan ulama. Baru ia tahu rupanya pemahamannya itu salah atau tak lengkap atau lari konteks dan sebagainya. Maka pelajar akan membetulkan semula pemahamannya atas matan hadis seperti yang sepatutnya yakni seperti yang ulama fahami.

Pelajar kemudiannya akan bahas kefahaman atas syarah ulama tadi, tanpa merujuk kepada ‘hasyiyah’ atau syarah ulama sama atau yang lain atas syarah awal ini. Buat hal sama seperti ketika baca matan.

3. Setelah itu, pelajar akan baca dan usaha fahami pula ‘hasyiyah’ atau syarah atas syarah ulama ke atas matan tadi. Kemudian bandingkan dengan bahas kefahamannya atas syarah tadi dengan ‘hasyiyah’ ulama atas syarah itu.

Di sini pelajar dapat lebih dalam meluruskan pemahamannya dan lebih memahami maksud yang sahih (yang sepatutnya) dari sisi pandang ulama atas sesuatu matan hadis Nabi SAW.

Selepas itu, pelajar akan tutup kitab dan gunakan pemahamannya tadi untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Di sini pelajar akan belajar mengeluarkan ijtihad atau pandangan untuk selesaikan sesuatu masalah.

Ringkasan 6 peringkat mentelaah adalah :

>> Baca Matan Hadis.
>> Bahas Sendiri Matan.
>> Bandingkan dengan Syarah & Meluruskan Pemahaman Maksud Matan.
>> Bahas Sendiri Syarah.
>> Bandingkan Dengan Hasyiyah dan Meluruskan Pemahaman Maksud Syarah.
>> Menggunakan Kefahaman Tadi dan Berijtihad Untuk Selesaikan Masalah.

Dengan 6 peringkat ini, pelajar itu akan dapat menghafal sesuatu matan dengan hafalan kalimah, hafalan kefahaman dan hafalan tasawwur.

=========
Bertalaqqi
=========

Ini bahagian yang paling penting – BERGURU secara talaqqi (berdepan) dengan guru yang bersanad.

Berguru ini bukan sekadar maksud seperti kita kebiasaan mengambil ilmu di masjid surau atau bengkel semata. Berguru di sini adalah dengan kaedah istiqomah meluangkan masa yang panjang di dalam mengambil ilmu secara talaqqi dengan guru di tempat guru tersebut.

Semasa proses mentelaah tadi, pelajar sudah keluarkan 2 syarah peribadinya dan merujuk kepada 2 syarah ulama dan sudah memahami maksud sebenar matan hadis tersebut serta sudah menggunakan kefahamannya untuk berijtihad bagi menyelesaikan sesuatu masalah.

Ketika bertalaqqi dengan guru, pelajar akan dapat menambahkan lagi kefahaman dan meluruskan lagi mana-mana pemahamannya yang bengkok dan lari dari pemahaman yang sepatutnya atas matan, syarah dan hasyiyah serta ijtihadnya dalam menyelesaikan sesuatu masalah, dengan faedah dan bimbingan dari gurunya itu.

Bahkan pelajar itu akan dapat hikmah pemahaman yang lebih dalam daripada kalam gurunya atas semua hal berkait dan hafalannya dan ijtihadnya tadi.

============
Mengulangkaji
============

Setelah dari bertalaqqi, pelajar akan mengulangkaji pelajaran dan hafalannya tadi dengan kefahaman yang mendalam serta berusaha mengekalkan ilmu, hafalan dan kefahamannya serta mengukuhkan ijtihadnya, berpasakkan panduan serta hikmah dari gurunya yang bersanad.

Saya memang ada azam namun memang ‘serender’ terus dengan para ulama lepas berbincang hal ini dengan anak-anak madrasah. Memang tak tercapai kita orang awam nak bandingkan apa yang kita ada, apa yang kita faham agama ini dengan pelajar lepasan madrasah, apa lagi para ulama.

Mujahadah dan istiqomah mereka dalam mendapatkan, menguasai ilmu serta menyampaikan ilmu untuk fahamkan umat ini, memang kita takkan mampu buat. Saya pun tumpang saja anak-anak dan keturunan kami yang akan jadi para alim ulama yang faqih agama ini, insyaAllah.

Sama-sama kita usahakan diri kita jadi orang bertakwa dan soleh, walau kita tak mampu jadi orang alim dan faqih seperti para ulama.

Kita doakan agar Allah sentiasa merahmati dan menjaga para ulama kita serta jadikan kita semua hambaNya yang soleh dengan sentiasa menambahkan kefahaman kita dengan agama ini. Amin Ya Allah.

Hablumminallah wa habblumminannas..
Jagalah Allah, pasti Allah akan jaga kita.

Barakallahufikum buat saudara dan sahabatku..

Leave a Reply

%d bloggers like this: