Jangan Obses Isu Media Sosial

Jangan Obses Isu Media Sosial

Kita suka dan obses mengikuti isu-isu terbaru yang berlegar di media sosial. Pelbagai maklumat separuh masak yang kita temui dan baca. Ia menjadi semakin menarik apabila ada sesi balas membalas antara pihak yang berselisih.

Sebahagian yang lain pula akan memilih berhenti setelah perbahasan berlarutan dan tidak menampakkan jalan penyelesaian. Jika maklumat yang diperolehi dan disimpan sepanjang tempoh tersebut itu tidak tepat, dia berterusanlah dalam keadaan tersebut. Jika dia memilih untuk terus mengikuti perkembangan tersebut, masanya akan banyak terbuang. Dia mungkin mendapat sesuatu yang memberi kepuasan buatnya di dunia. Tetapi, tiada apa-apa keuntungan di akhirat yang diperolehinya. Hanya tergolong dalam kalangan mereka yang rugi.

Alangkah baiknya jika dia tidak mengikuti perkembangan tersebut. Dia tidak akan berada dalam keadaan bersangka buruk atau bersangka baik sedangkan salah satu daripada keduanya boleh jadi salah atau betul.

Kita sudah banyak membuang masa untuk dunia yang sementara ini sedangkan tumpuan kita yang sebenar iaitu akhirat sering dilupakan. Kita tidak obses mengikuti pengajian ilmu dan mendalami isu-isu yang berkaitan dengannya sebagaimana kita obses dengan cerita-cerita yang muncul di media sosial.

Ada sebilangan yang lain pula sentiasa rasa dirinya terpanggil untuk komen tentang sesuatu isu sedangkan dia bukanlah ahlinya. Duduklah di kerusi masing-masing dan muhasabah diri. Mungkin akan ada yang berkata: “Kebatilannya perlu dibongkar. Biar semua tahu”. Kita katakan kepadanya benar bagai dikata. Tapi bukan daripada kamu yang tidak tahu apa-apa dan cuba memberitahu dunia bahawa kamu tahu.

Jika kamu terasa, berundurlah setapak ke belakang. Lihat dunia ini dengan lebih luas. Komentar kamu di sudut tersebut mungkin tidak diperlukan. Tetapi kamu masih diperlukan di sudut yang lain. Ketahuilah kadar diri kamu sendiri, nescaya Allah menyayangi kamu.

Semoga Allah pelihara kita semua.

Leave a Reply

%d bloggers like this: