Koridor Harapan DAP Anwar

Koridor Harapan DAP Anwar

Nasional
Koridor Harapan, DAP dan Anwar Ibrahim
November 9, 2022

KORIDOR HARAPAN bukanlah cerita rekaan palsu atau isu politik yang cuba digembar-gemburkan. Bukan juga serkap jarang atau spekulasi sensasi untuk mencari publisiti, mahupun momokan bagi menakutkan sesiapa. Tetapi ia gagasan yang terang nyata dan menjadi cita-cita penting mahu dicapai DAP.

Pengerusi DAP Negeri Perak, Nga Kor Ming sendiri menyatakan secara terbuka sasaran yang akan melibatkan Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan itu. Di mana Perak tegas beliau menjadi negeri mesti dimenangi pada PRU15 ini sebagai menjayakan ‘harapan’ tersebut.

“Jika kita menang, kita akan membina ‘Corridor of Hope’ dari Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Kita dah menang Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Tetapi kurang satu lagi iaitu Perak.

“Sekiranya, kita menang Perak pada PRU kali ini, dari utara ke selatan semua negeri menjadi Koridor PH. Dan dari situ kita memperluaskan ke Johor dan Pahang,” ujarnya menampakkan ‘roadmap’ yang sudah dirangka itu.

Nafsu besar itu telah menerima sokongan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook. Juga Presiden PAN, Mohamad Sabu dan Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

“Majlis Presiden PH telah pun menetapkan Perak sebagai ‘frontline state’ pada PRU akan datang. Ini (Perak) adalah negeri perjuangan utama supaya kita boleh menubuhkan Koridor PH di sebelah Pantai Barat negara kita,” tegasnya menyatakan Perak sebagai ‘benteng hadapan’ dan ‘perjuangan utama’ pakatan itu.

Kor Ming turut menyatakan pentingnya Perak dimenangi pakatan itu hinggakan Perdana Menteri juga akan calon daripada negeri tersebut. Terdahulu, DAP telah mempelawa Anwar bertanding di Perak dan menyatakan bahawa ketokohan Presiden PKR itu amat diperlukan untuk membantu PH merampas semula negeri itu.

Rangkaian antarabangsa

Jajaran politik berunsurkan penjajahan licik ini sebenarnya didukung oleh agenda dan perancangan besar di peringkat antarabangsa. Ia pernah diceritakan secara tertutup oleh Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak, sebelum didedahkan terbuka oleh Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor beberapa tahun dahulu.

Malaysia menurutnya, menjadi sasaran gerakan Evangelis sebagai sebahagian Laluan Sutera Baharu (The New Silk Road) yang memiliki banyak sumber penting masa depan. Laluan itu katanya, panjang dari Jakarta hingga ke China menjadi jalan perdagangan dan dakyah Evangelis yang turut didukungi parti politik tertentu.

“Sebahagiannya sudah bercantum, sebahagian sedang diusahakan. Ada yang pernah disekat, tetapi sekarang sudah dibuka. ‘Depa’ (mereka) telah kuasai Jakarta, naik ke Singapura, jadi pangkalan Zionis, CIA, Mossad, KGB.

“Apa saja gerakan rahsia antarabangsa yang jahat, menjadikan Singapura sebagai pangkalan secara sulit mahupun terbuka. Tahun 1983, ditangkap 12 kakitangan Kedutaan Singapura di Jakarta kerana jadi ‘spy’ (perisik) kepada Mossad Israel,” dedah beliau.

Bentangnya, apabila Kristian gagal di Eropah hingga gereja-gereja bertukar menjadi masjid dan ramai memeluk Islam, gerakan Evangelis ke Afrika meng-Kristiankan penganut Animisme. Namun, setelah tepu di Afrika, gerakan itu mensasarkan pula wilayah Asia untuk dimasuki dan dikuasai khususnya.

Terang beliau, gerakan tersebut amat menyedari bahawa rantau Asia Tenggara yang terdiri daripada 600 juta penduduk dengan hampir separuhnya Muslim. Malah, rantau ini memiliki bekalan penting masa depan di mana manusia akan bertelagah dan berperang mengenainya iaitu makanan, air dan tenaga.

Menurut Sanusi, negara ini khususnya Kelantan dan Terengganu mempunyai simpanan minyak sangat banyak, selain turut boleh menghasilkan berbilion tong gas yang menjadi tenaga dunia masa depan. Selain ujarnya, minyak dan gas turut ditemui di Arakan, Myanmar.

Beliau yang pernah menjadi Pengarah Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) di mana turut memperjuangkan isu tersebut di peringkat antarabangsa melihat sumber tersebut sebagai sebab Muslim Rohingya dibunuh usir agar bumi dan agar dapat dikuasai oleh pihak berkepentingan.

“Mahu tak mahu, negeri kita akan dikuasai atas perebutan tiga perkara; air, makanan, tenaga. Siapa boleh kuasai Indonesia, Malaysia, Selatan Thailand, Barat Burma sampai Selatan Filipina, akan menguasai dunia di masa depan. Maka China turun, Amerika pun mari. Israel pula nak buka pangkalan dia.

“Yang terakhir ‘base’ kuat di Australia, dekat dah dengan kita (Malaysia). Kita ini jadi sasaran. Ada parti politik bawa agenda ini. Maka secara besar-besaran, para pemimpin dia ‘convert’ dari Buddha masuk Kristian. Kenapa masuk Kristian? Kerana Buddha tak dakwah agama dia pada orang lain.

“Tapi Kristian ini agama Missionari, dakyah dan berhasrat memurtadkan orang Islam,” terangnya membuka ‘rahsia’ tersebut dan kesungguhan ‘parti itu’ membawa agenda Pilihan Raya Majlis Tempatan (PBT) bertujuan menguasai tanah dan aset di bandar-bandar terutamanya.

Jelasnya, mereka membangunkan kediaman super mewah dan dijual kepada para jutawan luar hingga orang Melayu dan rakyat miskin terpaksa lari. Perkara itu nyatanya, terjadi di beberapa bandar besar di rantau dan negara ini seperti Jakarta, Singapura, Johor Bahru, Seremban, Lembah Klang, Ipoh, Pulau Pinang, Kulim, Sungai Petani, Alor Setar, Bangkok, Ho Chi Minh, Hanoi, Guangzhou, Beijing dan Shanghai.

Pecah dan perintah tanah Melayu

Setiausaha PAS Negeri Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim juga pernah membongkar usaha-usaha DAP mengadakan penguasaan politik. Antaranya kata beliau, menerusi agenda pembangunan yang giat diadakan dengan sokongan kapitalis. Di mana menurutnya, sasaran mereka adalah tanah-tanah kependudukan Melayu-Islam.

Peringat beliau, umat Islam-Melayu perlu sedari bahawa gerakan berasaskan politik cuba mengambil alih pemilikan tanah dan mendominasi penempatan sedia ada. Iszuree memberi contoh Balik Pulau yang satu-satunya kawasan majoriti Islam-Melayu masih berbaki di dalam Pulau Pinang, tetapi semakin menyusut kurang 60 peratus.

Begitu juga katanya, projek mega Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) secara pembangunan mewah yang tidak akan mampu dimiliki rakyat tempatan terutama orang Islam-Melayu. Beritahunya, PSR bakal menambah sekitar 400,000 penduduk baharu, sekali gus akan berlaku pertambahan pengundi, Parlimen dan DUN baharu.

Begitu juga menurutnya, agenda di sebalik projek terowong dasar laut yang kemudian mahu diubah sebagai jambatan ketiga. Projek itu ujarnya, akan menghubungkan George Town dan Bagan di Seberang Perai Tengah. Di mana dedah beliau, projek tersebut akan menjadi ‘pintu masuk’ ke Seberang Perai Utara (SPU).

“Iaitulah ‘laluan pintas’ untuk menjadi rangsangan mengambil alih pemilikan dan seterusnya menguasai kawasan yang majoriti dan pemilikan asal orang Islam-Melayu. Ini bukan bicara anti-pembangunan atau perkauman. Tetapi untuk menyedari agenda menelan kawasan majoriti Islam-Melayu.

“Mungkin akan lenyap 50 tahun akan datang, jika orang Melayu tidak menghentikan keghairahan menjual tanah mereka. Ini menunjukkan indikator mulanya usaha politik ke arah menawan dengan memecah masuk melalui proksi pemaju ke dalam SPU,” bongkar bekas Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ini.

Kata Iszuree, Daerah SPU yang terletaknya Parlimen P.041 Kepala Batas dan P.042 Tasek Gelugor dari segi demografi memiliki penduduk Islam-Melayu lebih 70 peratus. Namun baginya, kawasan ini bagaikan Tebing Barat di Palestin dan umat Islam-Melayu mungkin menerima nasib ‘penaklukan’ tanah.

Perincinya lagi, muslihat politik di bawah agenda ‘pecah dan perintah’ menerusi pembangunan tersebut tidak hanya melibatkan peranan pemaju kapitalis. Tetapi kata beliau, termasuk menerusi pilihan raya secara menaja calon proksi. Atau rakan proksi yang akan menuruti dan melunaskan matlamat tersebut.

Menguasai jajaran demografi

Tambah beliau, rangkaian jaringan kuasa politik DAP dari Kedah sehingga ke selatan Perak bermula dari Alor Setar melalui Sungai Petani dan Tikam Batu. Seterusnya ia menuju ke Bukit Mertajam, Batu Kawan, Gopeng dan Ipoh. Namun menurutnya, jajaran itu perlu melalui kawasan Melayu-Islam.

Oleh itu katanya, untuk menguasai jajaran tersebut, DAP perlu melalui Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Nibong Tebal. DAP sendiri, termasuk dengan bantuan rakan politik atau proksi diperalatkannya dalam kalangan orang Melayu, teramat perlu menang di kerusi-kerusi tersebut.

“Rangkaian penguasaan jaringan ini akan menguasai bandar-bandar kecil akan dihubungkan ke bandar-bandar besar seperti George Town, Ipoh, Kuala Lumpur yang menjadi tulang belakang kuasa bangsa DAP dalam menguasai politik Tanah Melayu,” tegasnya mengingatkan.

Katanya, agenda DAP untuk mewujudkan kembali Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (PBT) adalah agenda besar bagi menguasai politik bandar yang merupakan nadi ekonomi dalam menguasai politik negara. Beliau tidak menolak wujud perangai atau peranan pengkhianat ‘Si Kitol’ dalam kalangan orang Melayu yang bersekongkol dengan DAP.

Katanya, mereka ini menjadi pemudah cara dalam mempengaruhi orang Islam. Di mana jelas beliau, nasib orang Islam-Melayu di negeri ini telah disaksikan sebagaimana terhapusnya tanah warisan sejarah orang Melayu Kampung Batu Uban.

“Ini contoh di mana ia berpunca dari individu yang berperanan sebagai gangster kampung mencari makan menjadi ejen upahan kepada pemaju. Jadi perancangan strategik DAP ini perlu di sedari oleh masyarakat Islam khususnya orang Melayu dan parti-parti Melayu dan Islam.

“Jangan mudah menelan upahan dan rasuah politik dan proksi politik bangsa DAP melalui pemaju. Kerana terbukti ada parti politik Melayu yang tiada roh Islam telah gagal mempertahankan kepentingan tanah asal orang Melayu, malah menjadi menjadi ejen perancangan strategik DAP atau sekutunya,” nasihatnya.

Di sebalik agenda ‘Harapan’

Sudah tidak menjadi rahsia lagi bahawa agenda ‘Harapan’ didukung oleh gereja-gereja dan para paderi Evangelis, dengan sumber kewangan pula ditaja daripada Amerika Syarikat. Iaitu menerusi badan-badan seperti Pembiayaan Kebangsaan Untuk Demokrasi (NED) dan Institut Republikan Antarabangsa (IRI).

‘Penaklukan’ melalui pilihan raya ini dikembangkan dengan kegiatan kononnya memerangi terorisme dan menyemai demokrasi sebagai instrumen pentingnya. Di mana gerakan yang membawa prinsip ‘Regime Change‘ atau perubahan kerajaan ini, diketuai oleh tokoh-tokoh Yahudi aliran Zionis atau Neo-Konservatif.

Keterlibatan dan campur tangan mereka ini bahkan terakam dari upacara doa dan nyanyian serta laungan gembira gereja-gereja tersebut apabila PH memenangi PRU14. Malah, setelah itu para penaja dari badan-badan tersebut turut mengaku mengenai sumbangan kewangan telah mereka danai.

Kegiatan ini sebenarnya bukan baharu di mana ‘natijahnya’ adalah pemurtadan orang Islam-Melayu yang heboh pada tahun 1987. Terdapat laporan khas mengenainya dalam kertas putih Parlimen 1988, iaitu Kertas Perintah 14 dengan tajuk Ke Arah Memelihara Keselamatan Negara.

Helah tersembunyi mereka juga menyelinap menerusi pelbagai ideologi dan gerakan haluan kiri yang wujud di dalam negara ini, seperti wacana liberalisme dan pluralisme. Di mana benteng kekebalan akidah orang Islam ditembusi dengan pendekatan kontekstual dan normalisasi yang halus masuk dalam masyarakat Melayu.

Manakala momokan Islamophobia dengan menggambarkan Islam sebagai ekstrem telah dikembangkan kepada rakyat bukan-Muslim untuk menjauhi Islam. Segelintir orang Islam pula menjadi defensif dan apologetik dengan tuduhan ini hingga mengendurkan diri terhadap dakwah Islam itu sendiri.

Sedangkan mazhab Evangelis semakin giat melangkah, hingga pasca-PRU13 menyaksikan ada pihak-pihak tampil melaporkan hasutan dilakukan beberapa paderi dan gereja. Ini tidak termasuk NGO-NGO pro mereka yang semakin aktif bergiat dalam masyarakat dan menyerlahkan ‘warna politik’.

Begitu berani mereka, termasuk meluaskan usaha-usaha menyamaratakan agama serta hak-hak keistimewaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ketika sama mahu supaya diberikan kepada setiap tuntutan mereka sebagai ‘hak asasi dan kebebasan’ walaupun ianya songsang dan bertentangan.

Semua yang sebelumnya samar-samar, akhirnya menjadi angkuh dan menunjukkan wajah sebenar mereka pasca-PRU14 sebagaimana telah diketahui semua. Jangan dilupakan mengenai Octoberfest, The Isiah Highway, Kerajaan Tuhan, Becoming Hannah, Jubilee Golden Gate, ICERD, Statut Rom dan lain-lain itu.

PRU15 ini, DAP terus menjadi ‘master-mind’ dan tampil dengan selunak-lunak pendekatan yang kononnya harmoni dan memesrai Islam-Melayu. Tulisan Jawi yang pernah diperangi mereka menjadi hiasan calon PH. Paling ketara, cuba berselindung di sebalik wajah-wajah Melayu-Islam yang mereka ‘remote-control’ sebagai calon.

Melayu terpenting yang DAP ketengah atau pertaruhkan adalah Anwar sendiri, untuk kembali memecah semua kebuntuan PH sebagaimana dicaturkan beliau bertanding di Perak. Sama ada Anwar telah mengikut telunjuk DAP atau dia sememangnya membantu menjayakan cita-cita DAP, salah satunya adalah pasti.

IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my – HARAKAHDAILY 9/11/2022

Leave a Reply

%d bloggers like this: