Kungfu Hanya Tarian ?

Kungfu Hanya Tarian ?

Kungfu hanya tarian ? Sebenarnya apa yang Johan Ghazali cakap itu betul.

1. Banyak seni bela diri tradisional, termasuk KungFu, semuanya jadi tarian sahaja di atas pentas persembahan pada zaman ini.

Ini kerana mereka sudah buang unsur “hard-sparring” dalam seni bela diri mereka; ditambah pula dengan taqlid buta dengan tok guru, yang menyebabkan seni bela diri yang mereka amalkan kekal berada di takuk lama.

Seni bela diri ini tidak boleh taqlid buta tok guru, sebab ia melibatkan pergerakan badan manusia, jadi ia tertakluk bawah sains sukan. Bila melibatkan sains, memang perlu sentiasa wujudnya inovasi untuk menjadi lebih baik daripada orang sebelum kita; tidak boleh kekal di takuk lama.

Aku bagi contoh mudah.

Sifu-sifu Kung Fu sejak tahun 1920-an sampailah tahun 1980-an tidak pernah menang melawan petinju Muay Thai. Semua Sifu Kung Fu, tak kiralah jurus apa pun, tak mampu bertahan walau 1 minit pun ketika melawan petinju Muay Thai di atas pentas.

Kenapa? Sebab kebanyakan seni bela diri tradisional Cina sudah menjadi sekadar persembahan di atas pentas apabila dibuang unsur hard-sparring. Jurus, tumbukan, tendangan, kekunci mereka tidak pernah diuji di medan tempur yang sebenar. Bila jurus yang diajar tidak pernah diuji di medan tempur sebenar, bagaimana mereka hendak tahu bahawa sesuatu jurus itu berkesan atau tidak? Tambahan pula, mereka diajar taqlid buta dengan sifu mereka.

Bila orang Cina asyik kalah dengan Muay Thai, mereka gunakan kaedah saintifik untuk rombak seni bela diri tradisional Cina. Setelah diuji dan dikaji jurus, tumbukan, tendangan, kekunci yang berkesan selama bertahun-tahun; mereka buang jurus yang tidak berguna, dan kekalkan dan menambah-baik jurus yang berkesan dalam medan tempur.

Hasilnya, muncullah sukan seni bela diri Cina yang dikenali sebagai Sanda (散打).

Dengan seni bela diri Sanda (散打) inilah, atlet Cina mula menang melawan petinju Muay Thai pada tahun 1990-an sehinggalah tahun 2000-an dan ke atas.

Orang Cina bukannya baru tahu yang Kung Fu tidak berguna di medan tempur sejak kehadiran Xu Xiaodong; mereka sudah tahu hakikat ini sejak berpuluh-puluh tahun sebelum kelahiran Xu Xiaodong lagi;

Xu Xiaodong digam oleh Kerajaan China kerana seni bela diri tradisional Cina ini merupakan tarikan pelancong untuk orang luar negara datang ke China dan belajar Kung Fu. Kalau Xu Xiaodong malukan semua Kung Fu tradisional Cina, pelancong mana lagi hendak datang berguru dan belajar di Kuil Shaolin dan Gunung Wudang? Kalau mereka tidak datang lagi, akan kuranglah pendapatan industri pelancongan negara China. Itulah sebab sebenar Xu Xiaodong digam.

2. Sama juga dengan seni bela diri yang lain.

Pada zaman dahulu, keluarga Gracie, antara pengasas dan keluarga yang popularkan seni bela diri Brazilian Jiu-jitsu, banyak mengalahkan pengamal seni bela diri lain, ini kerana ramai di kalangan mereka tidak tahu bagaimana hendak pertahankan diri ketika berhadapan dengan seni bela diri Brazilian Jiu-jitsu.

Hanya pengamal seni bela diri Judo sahaja yang mampu mengalahkan pengamal Brazilian Jiu-jitsu pada masa itu, di mana Masahiko Kimura, seorang Judoka Jepun, mengalahkan Helio Gracie di Brazil pada tahun 1951.

Namun lama-kelamaan, kita semakin jarang nampak ahli keluarga Gracie muncul di pentas perlawanan MMA.

Kenapa? Ini kerana pengamal seni bela diri zaman sekarang juga sudah mampu menambah-baik teknik bela diri mereka. Mereka tidak mengehadkan diri mereka dengan 1 disiplin sahaja. Mereka kuasai pelbagai disiplin seni bela diri, termasuklah Tinju, Tinju Tendang (Kickboxing), Muay Thai, Gusti, Sambo, Brazilian Jiu-jitsu dan seumpamanya.

Kebanyakan pengamal seni bela diri MMA yang anda saksikan di UFC . Atau mana-mana gelanggang MMA menguasai pelbagai disiplin seni bela diri ini. Barulah mereka berani masuk gelanggang MMA. Mereka mampu mengalahkan lawan yang hanya fokus pada 1 jenis disiplin seni bela diri. Seperti kita lihat bagaimana mudahnya Mariusz Pudzianowski mengalahkan Rolles Gracie Jr. Seorang pakar seni bela diri Brazilian jiu-jitsu, pada tahun 2015.

Jadi secara tidak langsung, mereka sentiasa menambah-baik jurus tumbukan, tendangan. Dan kekunci yang mereka pelajari; cara untuk menepis dan menangkis serangan, dan cara untuk pertahankan diri daripada takedown (takedown defense).

Wujudnya inovasi, percubaan dan kesilapan (trial and error) dalam menguji teknik bela diri. Dan serta tiada lagi taqlid buta dengan orang sebelum mereka. Hatta Seni bela diri Muay Thai, yang kononnya tradisional itu pun pernah lalui perubahan ini. Di mana mereka memasukkan unsur seni tinju dari Barat pada sekitar 1910-an – 1920-an.

Kesimpulannya, seni bela diri tradisional kurang berkesan kerana kurangnya inovasi, kurangnya unsur hard-sparring, dan taqlid buta dengan guru-guru mereka. Seni bela diri ini tertakluk bawah sains sukan. Bila dinamakan sains, perlu sentiasa wujudnya inovasi dan ujikaji supaya ia sentiasa kekal relevan. Kungfu hanya tarian ?

Kau tahu tak yang Bruce Lee ada seni bela Kungfu Sendiri ?

Ya, namanya Jeet Kune Do. Ia diasaskan pada tahun 1967 di Amerika Syarikat. Bruce kahwin dengan orang putih dan menetap di sana.

Kenapa dia cipta seni bela diri ini?

Kata dia dalam Black Belt Magazine pada tahun 1971, dia bukannya mencipta seni bela diri baharu. Tetapi, dia nak menapis semua pergerakan dalam seni bela diri macam Kung Fu, Taekwondo, Tinju dan lain-lain.

Kenapa nak tapis?

Sebab, pada pengamatan dia, banyak seni bela diri yang mengajarkan pergerakan yang tidak realistik dan terpakai pada perlawanan sebenar. Maka, Jeet Kune Do berperanan untuk tapis semua itu supaya ia dapat melahirkan fighter sebenar yang dinamik dan padu.

Hal ini ramai yang tidak setuju dengan Bruce Lee. Ramai pengamal seni bela diri tradisional mengkritik dia.

Pada Bruce Lee, bila kita berlawan dalam situasi sebenar, kita kena jadi seperti air, kerana ia bersifat mengalir dan adaptif.

Berlawan tidak semestinya rigid dengan pergerakan-pergerakan tertentu daripada seni bela diri tertentu. Berlawan mesti dinamik. Kita kena pandai menggunakan pergerakan apa saja yang perlu untuk kita menjatuhkan musuh.

Bruce Lee nampak, banyak pergerakan yang diajarkan dalam apa-apa seni bela diri itu rigid dan tidak realistik. Kalau guna dalam perlawanan sebenar ia gagal untuk berfungsi.

Maka wujudlah Jeet Kune Do yang menggabungkan pergerakan-pergerakan yang realistik daripada pelbagai seni bela diri. Presiden UFC, Dana White pernah menggelar Bruce Lee sebagai bapa seni bela diri campuran.

Sebab dialah yang awal-awal mencampurkan pelbagai seni bela diri ke dalam satu seni bela diri baharu, iaitu Jeet Kune Do. Sekarang kungfu hanya tarian ?

Leave a Reply