Lemak Tepu Perosak Jantung ?
Lemak Tepu Perosak Jantung ? BENARKAH LEMAK TEPU PUNCA PENYAKIT JANTUNG KORONARI..?? SATU PENILAIAN SEMULA….!!
Penyakit jantung koronari adalah penyakit pembunuh yang utama di Malaysia dan di dunia sekarang. Setiap 15 minit seorang akan mati akibat penyakit jantung koronari di Malaysia.
Kita selalu dinasihatkan untuk mengawal pengambilan lemak dan kolesterol dalam pemakanan untuk mencegah penyakit ini…
Adakah benar dengan mengurangkan pengambilan lemak tepu akan mengurangkan risiko penyakit jantung koronari??
Ia satu persoalan yang perlu kita teliti semula dan melihat kajian-kajian yang ada yang diterbitkan dalam jurnal-jurnal perubatan dan nutrisi terkini.
Lemak tepu telah dipersalahkan sebagai punca masalah kolesterol tinggi atau hiperkolesterolemia sejak tahun 50an lagi. Ia berdasarkan kajian awal ahli sains yang mencari punca kepada penyakit jantung yang meningkat secara mendadak sejak awal abad ke 20. Apabila Presiden Eisenhover sendiri mendapat serangan jantung, maka kajian tentang punca sakit jantung semakin rancak dijalankan.
Bermula tahun 1900an, minat saintis untuk mengkaji lebih mendalam tentang penyakit jantung. Pada tahun 1915, sekumpulan doktor dan pekerja sosial di New York telah menubuhkan pertubuhan yang di panggil Association for Prevention and Releif of Heart Disease in New York City. Pada tahun 1924, pertubuhan ini di kenali sebagai American Heart Association. Pada masa tersebut kumpulan doktor ini merasa bimbang tentang penyakit jantung dengan keadaan pengetahuan mereka tentangnya amat terbatas. Kebanyakan pesakit jantung yang mereka jumpa tidak mempunyai peluang untuk mendapatkan rawatan.
LEMAK TEPU DALAM PEMAKANAN DAN SEJARAHNYA
Makanan pertama apabila seorang bayi dilahirkan adalah susu ibu. Kajian menunjukkan kandungan susu ibu adalah sangat tinggi dengan lemak tepu dan pelbagai zat pemakanan yang lain. Adalah amat malang apabila bayi ini membesar, mereka dinasihatkan untuk mengelakkan makan lemak tepu kerana kononnya lemak tepu merbahaya untuk kesihatan.
Kajian yang menjadi punca kepada ‘doktrin’ memburukkan lemak tepu di mulakan oleh seorang saintis bernama Ancell Keys (1904-2004) yang merupakan seorang saintis daripada University of Minnesota yang terkenal dan sangat berpengaruh di USA.
Beliau telah mencadangkan satu hipotesis yang dinamakan ‘Diet Heart Hypothesis’ yang meyatakan bahawa lemak tepu adalah punca kepada masalah kolesterol tinggi dan penyakit jantung koronari yang menyebabkan kematian akibat serangan jantung. Beliau ingin membuktikan teori ini dengan melakukan kajian yang dipanggil ‘The Seven Countries Study’(1958).
Beliau mengkaji tentang pengambilan lemak tepu dalam pemakanan dan paras kolesterol dalam darah dan kaitannya dengan penyakit jantung koronari. Kajian beliau berdasarkan pemerhatian di negara Greece, Itali, Sepanyol, Afrika Selatan, Jepun dan Finland. Beliau membuat teori bahawa makanan yang tinggi ‘lemak tepu’ daripada haiwan akan menyebabkan paras kolesterol meningkat berbanding makanan dengan lemak tidak tepu (PUFA) daripada sumber tumbuhan.
Pemerhatian beliau semasa membuat lawatan pada tahun 1950 ke negara-negara di Eropah selepas Perang Dunia Kedua mendapati kadar penyakit jantung rendah dan menurun di beberapa negara Eropah selepas perang di mana makanan mereka amat terhad berbanding dengan negara beliau USA yang penduduknya makan dengan lebih mewah tetapi mempunyai kadar penyakit jantung yang tinggi.
Persatuan Jantung Amerika (AHA) telah menerima teori yang dicadangkan oleh Prof Ancell Keys ini iaitu mengaitkan punca penyakit jantung koronari dengan pengambilan lemak tepu dan kolesterol. Oleh kerana itu AHA telah mencadangkan kepada masyarakat umum di USA untuk mengelakkan pengambilan lemak tepu seperti telur, daging, mentega, keju dan secara beransur-ansur pihak berkuasa kesihatan diseluruh dunia mengambil pakai teori yang serupa. Secara tidak lansung minyak kelapa dan minyak kelapa sawit dimasukkan dalam senarai lemak tepu yang dilarang mengambilnya kerana kedua-dua minya ini tinggi dengan lemak tepu.
Ancell Keys juga telah mencadangkan menggantikan lemak tepu dengan lemak tak tepu (PUFA, Polyunsaturated fatty acids) yang dihasilkan daripada sumber kacang soya, jagung dan minyak bunga matahari yang secara kolektifnya dipanggil sebagai minyak sayuran (vegetable oils). Kesannya, nasihat ini menjadi suatu yang seragam diseluruh dunia.
Walaubagaimanapun, kajian terkini menunjukkan bahawa pengambilan lemak tepu tidak berkaitan dengan masalah penyakit jantung dan seseoarng yang menggantikan lemak tepu dengan lemak PUFA tetap berisiko tinggi mendapat penyakit jantung koronari.
BUKTI-BUKTI KAJIAN TERKINI TENTANG LEMAK TEPU DENGAN PENYAKIT JANTUNG KORONARI
Terdapat beberapa kajian yang dijalankan secara ‘Randomized Control Trial’ yang telah menguji teori ‘Diet Heart Hypothesis’ dan keputusan kajian ini telah tidak dilaporkan secara meluas di media.
Kajian menunjukkan pengambilan lemak tak tepu (PUFA) menurunkan paras kolesterol darah , tetapi penurunan paras kolesterol darah tidak mengurangkan risiko penyakit jantung dan kematian akibat penyakit jantung. Pengambilan lemak tak tepu secara lansung juga tidak mengurangkan risiko penyakit jantung dan kematian akibat penyakit jantung.
Kajian oleh Prof Dr Christopher E. Ramsden dan rakan-rakan penyelidik daripada National Institute of Health, Bethesda, USA yang telah menganalisa kajian 2 kajian iaitu The Sydney Diet Heart Study (1966-1973) dan The Minnesota Coronary Experiment (1968 – 1973) yang dibuat pada tahun 2016. Beliau telah menerbitkan analisa kajian ini didalam laporan mereka.
THE SYDNEY DIET HEART STUDY (1966-1973)
Kajian ini bertujuan untuk mengkaji keberkesanan menggantikan pemakanan tinggi lemak tepu (mentega, chesse dsbgnya) dengan lemak tak tepu (PUFA) iaitu safflower oil untuk mencegah penyakit jantung koronari. Keputusan kajian ini menunjukkan kadar kematian yang lebih tinggi akibat penyakit kardiovaskular dikalangan peserta kajian yang mengambil lemak tak tepu (PUFA, minyak safflower) iaitu 17.6% berbanding dengan peserta yang mengambil lemak tepu iaitu 11.8% sahaja. Jelas daripada kajian ini membuktikan tiada kelebihan menggantikan lemak tepu dengan lemak tak tepu (PUFA) dalam mencegah dan mengurangkan kadar kematian akibat penyakit jantung koronari dan kardiovaskular secara umumnya.
THE MINNESOTA CORONARY EXPERIMENT (1968 – 1973)
Kajian ini adalah dengan kaedah ‘double blind randomized controlled trial’ yang dibuat untuk menguji samada penggantian lemak tepu dengan minyak tak tepu iaitu minyak sayuran (minyak soya,minyak jagung, minyak bunga matahari) yang kaya dengan asid linoleik (omega 6) membantu mengurangkan penyakit jantung dan kematian dengan menurunkan paras kolesterol dalam darah.
Data kajian MCE yang lengkap dan asli di analisa semula berdasarkan hipotesis pengkaji asalnya. Keputusan dari analisa semula mendapati peserta kajian yang mengambil minyak sayuran (PUFA) iaitu kumpulan intervensi (intervention group) mengalami penurunan paras kolesterol darah berbanding dengan kumpulan kawalan. Tetapi terdapat peningkatan sebanyak 22% risiko kematian untuk setiap 30 mg/L (0.78 mmol/L) penurunan paras kolesterol darah.
Tidak terdapat bukti kelebihan atau kebaikan dalam kumpulan intervensi yang mengambil minyak sayuran (PUFA) mencegah masalah atherosklerosis dan serangan jantung (myocardial infarction). Dalam meta analisis ini, intervensi mengurangkan kolesterol didapati tidak menunjukkan bukti ‘kelebihan’ atau ‘keuntungan’ yang ianya menurunkan kadar kematian akibat penyakit jantung koronari. Jelas daripada kajian ini mendapati menggantikan pengambilan minyak sayuran PUFA yang menurunkan kolesterol mengurangkan risiko kematian akibat penyakit jantung dan kardiovaskular.
KAJIAN EKOLOGI DI KEPULAUAN ‘PUKA-PUKA & TOKELAU” ( ‘The Pukapuka and Tokelau Island Studies’)
Kajian ini mengkaji penduduk bangsa Polynesia di dua buah pulau di Lautan Pasifik yang tidak mengalami masalah penyakit jantung lansung. Penduduk di kedua-dua pulau ini mengambil lemak tepu iaitu minyak kelapa dengan jumlah yang amat banyak. Kajian menunjukkan mereka mengambil 63% sumber tenaga mereka daripada minyak kelapa (santan). Minyak kelapa mengandungi asid lemak rantaian sederhana (MCFA) jenis asid laurik dan asid miristik. Penyakit jantung adalah satu penyakit yang sangat jarang berlaku dalam komuniti ini jelas menunjukkan bahawa pengambilan lemak tepu daripada kelapa bukan punca kepada masalah penyakit jantung koronari dan jelas menunjukkan ianya tidak merbahaya kepada kesihatan.
KAJIAN EKOLOGI MASYARAKAT MASAI DI AFRIKA
Kajian ini mengkaji tentang masyarakat Masai di Afrika yang hidup dengan mengambil lemak tepu dan kolesterol dengan banyak sekali dalam pemakanan seharian mereka iaitu daging lembu dan susu lembu asli dengan lemak penuh krim.
Penyakit jantung adalah sangat jarang berlaku dalam masyarakat ini dan mereka juga mempunyai paras kolesterol yang rendah.
KAJIAN EKOLOGI MASYARAKAT INDIA DI KENYA
Masyarakat India bukan islam di Kenya yang datang dari Gujerat India mengambil makanan berasaskan tumbuhan (vegetarian) termasuklah minyak sayuran dengan telur (lactovegetarian) . Masyarakat Muslim India di Kenya pula mengambil banyak produk tenusu dan juga makan daging lembu yang banyak.
Kadar kematian akibat penyakit jantung koronari bagi kedua-dua komuniti ini adalah sama. Ini jelas menunjukkan pengambilan makanan vegetarian tidak mempunyai kelebihan berbanding mengambil makanan berasaskan haiwan yang tinggi lemak tepu.
KAJIAN EKOLOGI MASYARAKAT PUNJAB & MADRAS
Kajian oleh saintis Dr S.L Malhotra yang mengkaji selama 5 tahun tentang pekerja keretapi Indian Railway yang mempunyai pekerja lebih daripada sejuta orang. Pekerja keretapi daripada Punjab makan 18 kali ganda lebih banyak lemak daripada mentega (minyak sapi) & lemak haiwan berbanding dengan pekerja keretapi di Madras.
Tetapi kajian ini mendapati pekerja daripada Madras mempunyai 7 kali ganda kadar kematian akibat serangan jantung berbanding pekerja daripada Punjab yang makan lebih banyak lemak tepu.
KAJIAN PURE (2017)
Kajian terbaru yang diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet pada Ogos 2017 yang dipanggil Kajian PURE ( The Prospective Urban Rural Epidemiology Study). Kajian ini mengkaji kaitan diantara pengambilan lemak dan pengambilan karbohidrat dengan risiko penyakit kardiovaskular dan kematian akibat penyakit jantung di 18 negara dari 5 benua iaitu sejenis kajian ‘Prospektif Kohort’.
Kajian ini adalah satu kajian yang sangat besar melibatkan 135,335 orang peserta yang berumur diantara 35 hingga 70 tahun yang dijalankan diantara tahun 2003 hingga 2013. Peserta kajian dikaji tentang pola pemakanan mereka mengenai pengambilan lemak dan karbohidrat seharian mereka. Kaitan diantara jenis lemak yang diambil dan karbohidrat dengan risiko penyakit kardiovaskular dan kadar kematian mereka.
Hasil kajian ini menunjukkan pengambilan karbohidrat yang tinggi adalah berkaitan dengan risiko tinggi kematian akibat penyakit kardiovaskular. Pengambilan lemak secara total dan jenis lemak yang berbeza didapati tidak berkait secara lansung dengan kadar penyakit kardiovaskular dan kadar kematian yang tinggi. Yang lebih mengejutkan didapati pengambilan lemak tepu mengurangkan risiko strok. Oleh kerana itu ahli sains dalam kajian ini mencadangkan semakan semula garispanduan pemakanan sedunia oleh pihak berkuasa kesihatan.
PEMAHAMAN TERBARU TENTANG LEMAK, KOLESTEROL & PENYAKIT JANTUNG KORONARI.
Penyakit arteri koronari iaitu atherosklerosis bermula daripada proses inflammasi atau keradangan dan bukannya akibat molekul kolesterol tinggi dalam darah. Pengambilan lemak omega 6 yang tinggi menjadi punca masalah keradangan kronik dalam tubuh. Bahan radikal bebas akibat pemecahan ikatan dubel karbon dalam molekul lamak tak tepu boleh merosakkan kesihatan untuk jangka masa panjang terutamanya penyakit jantung koronari. Lemak tepu yang tidak mempunyai ikatan dubel diantara molekul karbonnya tidak menghasilkan radikal bebas dan lebih stabil dan sesuai sebagai sumber lemak makanan yang dimasak.
Kolesterol LDL terdapat dua jenis iaitu jenis yang besar dan stabil (large & fluffy) dan ianya tidak meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular. Jenis yang kedua adalah kecil dan padat (small & dense) yang lebih senang menjadi teroksida yang meningkatkan risiko penyakit jantung koronari. Pengambilan makanan yang tinggi lemak tepu sihat (minyak kelapa, mentega dsbgnya) didapati meningkatkan kolesterol LDL jenis pertama iaitu besar dan stabil. Oleh kerana itu jelaslah bahawa pengambilan lemak tepu tidak meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular secara umumnya.
Pengambilan gula, makanan proses, karbohidrat halus dan lemak trans meningkatkan paras kolesterol LDL yang kecil dan padat. Oleh itu meningkatkan kadar penyakit jantung koronari dan kardiovaskular secara umumnya.
Kesimpulannya, kita perlu membuat penilaian semula tentang garis panduan pemakanan sihat agar kita tidak tersilap dalam memberi panduan pemakanan sihat yang sebenarnya dan membantu mengurangkan kadar penyakit kardiovaskular yang banyak membunuh manusia zaman sekarang. lemak tepu perosak jantung ?
Insyaallah
Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, MScAARMMA (UCSI),
MNM (ACNEM), FAGE (MAHE)
MMC : 36627
Doktor Perubatan Am & Nutrisi