Makanan Penyebab Keradangan

Makanan Penyebab Keradangan

MAKANAN YANG BOLEH MENYEBABKAN MASALAH KERADANGAN

Makanan Penyebab Keradangan ? Pelbagai jenis penyakit kronik yang melanda masyarakat kita sekarang semakin hari semakin bertambah bilangannya.

Pemakanan yang salah, tidak cukup aktiviti fizikal, stres yang melampau dan toksin dari persekitaran adalah berkait rapat dengan penyakit-penyakit kronik ini.

‘Keradangan kronik’ yang berlaku dalam tubuh kita adalah punca kepada penyakit kronik seperti obesiti, diabetes, sakit jantung koronari, strok dan hypertensi.

Keradangan ini juga mempunyai kebaikan kepada tubuh kita jika ia berlaku dalam masa sekejap (akut/acute) kerana ia adalah sebahagian daripada proses pemulihan tubuh kita akibat kecederaan atau jangkitan kuman.

Tetapi keradangan kronik boleh menjadi satu masalah besar kepada kesihatan kerana berdasarkan kajian sains keradangan adalah juga berpunca daripada pemakanan yang salah.

Dalam satu laporan jurnal perubatan Diabetologia tahun 2010 telah melaporkan bahawa punca permasalahan penyakit diabetes di seluruh dunia sekarang adalah kerana keradangan kronik tahap rendah (chronic silent inflammation) yang berlaku secara senyap-senyap dalam tubuh untuk tempoh yang lama.

Kajian juga menunjukkan, keradangan kronik juga menjadi punca kepada masalah kardiovaskular yang menyebabkan saluran darah menjadi sempit yang dipanggil sebagai atherosklerosis.

Kajian juga menunjukkan keradangan kronik juga amat berkaitan dengan masalah obesiti yang menjadi faktor risiko utama pelbagai penyakit kronik yang lain.

Mungkin kita tertanya-tanya bagaimana keradangan kronik ini boleh terjadi?

Kajian menunjukkan makanan yang kita makan adalah faktor yang utama yang menyebabkan keradangan kronik ini di samping faktor lain seperti tidak aktif secara fizikal, stres, toksin dan merokok.

Dalam artikel ini saya akan tulis berkenaan makanan yang menyebabkan masalah keradangan kronik ini.

Diantara makanan yang menyebabkan masalah keradangan kronik berlaku dalam tubuh kita adalah:

1. GULA PASIR & GULA SIRAP JAGUNG TINGGI FRUKTOSA (HFCS)

Gula pasir adalah di antara sumber makanan utama masyarakat kita hari ini. Hampir semua makanan dan minuman kita mengandungi gula dan sengaja di tambah gula untuk menyedapkan rasanya.

Gula pasir biasa juga di panggil sebagai sukrosa yang mempunyai kandungan 50% glukosa & 50% fruktosa. Gula sirap jagung tinggi fruktosa (HFCS) pula sebagaimana namanya mempunyai kandungan fruktosa yang lebih tinggi iaitu 65% sehingga 90% kandungannya adalah fruktosa.

Kajian menunjukkan pengambilan gula tambahan secara berlebihan ini menjadi punca kepada masalah keradangan kronik yang akan menyebabkan pelbagai jenis penyakit kronik dan gangguan metabolisma tubuh.

Gula berlebihan juga menyebabkan masalah keradangan sendi dalam penyakit radang sendi seperti osteoarthritis dan ‘Penyakit Radang Sendi Rheumatoid’ .

Satu kajian ke atas tikus makmal menunjukkan pengambilan pemakanan yang tinggi sukrosa oleh tikus-tikus ini menyebabkan terjadinya penyakit kanser payu dara kepada tikus tersebut yang merebak ke paru-paru. Ini adalah sebahagian daripada kesan keradangan kronik yang berlaku akibat pengambilan gula sukrosa secara berlebihan.

Kajian yang lain menunjukkan kesan anti-keradangan oleh asid lemak omega 3 terganggu dan terbantut akibat pengambilan pemakanan tinggi gula sukrosa oleh tikus-tikus makmal dalam kajian ini.

Ini bermakna, jika seseorang masih mengamalkan pengambilan gula yang tinggi dalam pemakanan seharian mereka tetap mempunyai tahap keradangan yang tinggi walaupun mengamalkan suplemen asid lemak omega 3.

Satu kajian ujian klinikal rawak yang menunjukkan seseorang yang minum air berkarbonat yang tinggi gula, air berkarbonat tanpa gula, air susu tinggi gula dan jus buah-buahan dalam kotak/tin/botol secara kerap akan mempunyai masalah asid urik yang tinggi yang menunjukkan masalah keradangan kronik yang tinggi dan masalah rintangan insulin.

Bahaya gula dalah lebih kepada kandungan ‘fruktosa’ di dalamnya. Fruktosa adalah gula buah yang rasanya sangat manis dan menyumbang kepada rasa manis gula dan buah-buahan.

Fruktosa dalam kuantiti yang sedikit adalah tidak merbahaya seperti yang terdapat dalam buah-buahan dan sayur-sayuran kerana kandungan serat didalamnya akan melambatkan penghadaman fruktosa dan menjadikannya ianya boleh di metabolisma secara beransur-ansur oleh hati kita.

Tetapi pengambilan fruktosa secara berlebihan adalah sesuatu yang sangat merbahaya kepada kesihatan untuk jangkamasa panjang .

Terdapat terlalu banyak kajian-kajian yang menunjukkan bahaya pengambilan fruktosa secara berlebihan boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti:

• Obesiti
• Sindrom rintangan insulin
• Hypertensi & Sindrom Metabolik
• Diabetes
• Masalah penyakit hati berlemak (fatty liver)
• Penyakit Kanser
• Penyakit buah pinggang kronik

Saintis penyelidik juga mendapati bahawa fruktosa berkait rapat dengan masalah keradangan kronik dalam sel-sel endothelial yang melapisi lapisan dalam saluran darah yang akan menyebabkan masalah pengerasan saluran darah atau atherosklerosis .

Banyak kajian juga menunjukkan bahawa pengambilan fruktosa yang berlebihan meningkatkan penanda keradangan dalam ujian ke atas tikus makmal dan juga manusia.

Makanan yang tinggi fruktosa adalah gula-gula, gula jeli, cokelat, minuman ringan, kek, biskut, pastri manis, donut, jem, jus buah-buahan, minuman kordial dan sebagainya.

Kesemua makanan yang tinggi fruktosa ini boleh menyebabkan masalah keradangan kronik yang tinggi dan menyebabkan pelbagai penyakit seperti sindrom metabolik dan pelbagai penyakit kronik berdasarkan kajian

2. LEMAK TRANS

Lemak trans adalah lemak sintetik yang merupakan lemak yang sangat tidak baik untuk kesihatan. Ia menyebabkan masalah keradangan kronik dalam tubuh .

Ia di buat dengan menambahkan hidrogen kepada lemak tak tepu dalam bentuk cecair (minyak masak) yang kemudiannya akan menjadikannya pepejal dan lebih stabil. Dalam label makanan proses lemak trans ini selalunya akan di label sebagai lemak terhidrogen atau separa terhidrogen (partially hydrogenated).

Kebanyakan produk marjerin mengandungi lemak trans ini dan ianya di tambah dalam makanan proses untuk memanjangkan tempoh tarikh luputnya.

Lemak Trans boleh terjadi secara semulajadi dalam susu dan daging haiwan dan ianya tidak merbahaya kepada kesihatan berbanding lemak trans yang di hasilkan secara sintetik.

Kajian menunjukkan lemak trans sintetik adalah punca keradangan kronik dan meningkatkan risiko pelbagai jenis penyakit seperti penyakit kardiovaskular , diabetes, darah tinggi, strok, meningkatkan keradangan dalam saluran darah dan menurunkan paras nitrik oksida , menurunkan paras kolesterol HDL.

Dalam satu kajian yang melibatkan kaum wanita, didapati mereka ang mengambil lemak trans mempunyai penanda keradangan yang tinggi iaitu paras hsCRP 78% lebih tinggi daripada wanita yang tidak mengambil lemak trans.

Dalam satu kajian rawak kepada wanita yang mempunyai berat badan berlebihan, pengambilan minyak soya yang terhidrogen meningkatkan keradangan secara signifikan berbanding pengambilan minyak masak sawit dan minyak bunga matahari yang tidak terhidrogen.

Satu kajian ke atas peserta lelaki yang sihat tetapi mempunyai paras kolesterol yang sederhana tinggi menunjukkan pengambilan lemak trans menyebabkan peningkatan paras penanda keradangan dalam darah di kalangan mereka.

Makanan yang tinggi kandungan asid lemak trans termasuklah makanan segera seperti kentang goreng, ayam goreng, popcorn, marjerin, shortening, biskut, pastri dan semua makanan proses dengan label yang bertulis ‘minyak terhidrogen’ (hydrogenated oil).

3. MINYAK SAYURAN TINGGI OMEGA 6

Minyak masak dengan kandungan Omega 6 yang tinggi seperti minyak bunga matahari, minyak soya dan minyak jagung adalah di panggil sebagai minyak sayuran (vegetable oil).

Penggunaan minyak-minyak ini telah meningkat 130% sejak permulaan abad ke 20 ini kerana promosi oleh pihak-pihak terbabit kononnya ia lebih sihat kerana kandungan asid lemak tak tepu membantu menurunkan kolesterol.

Kajian menunjukkan minyak soya meningkatkan kadar keradangan kerana kandungan omega 6 nya yang sangat tinggi. Omega 6 adalah bahan asas yang menghasilkan bahan mediator keradangan (inflammatory mediators) dalam tubuh manusia seperti prostaglandin & interleukin.

Walaupun kita masih memerlukan asid lemak omega 6 dalam makanan seharian kita, tetapi jumlah yang di ambil oleh masyarakat moden sekarang adalah terlalu tinggi terutama dalam makanan barat.

Ahli sains mencadangkan kita mengambil lebih banyak asid lemak omega 3 kerana nisbah yang lebih sihat di antara omega 6 dan omega 3 adalah 2:1, tetapi corak pemakanan masyarakat moden sekarang menjadikan nisbahnya 20:1.

Satu kajian makmal ke atas tikus yang diberikan makan asid lemak omega 6 kepada omega 3 dengan nisbah 20:1 menunjukkan peningkatan paras penanda keradangan berbanding dengan tikus yang di berikan makan asid lemak dengan nisbah 1:1 dan 5:1.

Walaubagaimanpun kajian konklusif ke atas manusia tentang kesan pengambilan omega 6 ini menyebabkan masalah keradangan masih belum benar-benar banyak dan kukuh.

Terdapat kajian menunjukkan pengambilan asid lemak linoleik (omega 6) tidak memberikan apa-apa kesan kepada paras penanda keradangan.

Mungkin kita memerlukan lebih banyak kajian yang lebih mendalam untuk mengkaji aspek ini. Untuk sementara ini, penggunaan minyak masak yang rendah kandungan omega 6 seperti minyak kelapa sawit adalah lebih baik dan sihat untuk mengurangkan keradangan kerana minyak kelapa sawit mengandungi banyak bahan-bahan anti keradangan didalamnya seperti beta karotin, tokotrienol, squalene dan sebagainya.

4. KARBOHIDRAT HALUS (REFINE CARBS) YANG TERPROSES

Karbohidrat sekarang telah mendapat reputasi buruk kerana berdasarkan banyak kajian ia boleh menyebabkan banyak penyakit kronik.

Sebenarnya bukan semua karbohidrat itu tidak sihat dan menyebabkan penyakit. Karbohidrat yang lebih sihat adalah karbohidrat asli (natural) yang berserat tinggi dan mempunyai indeks glisemik yang lebih rendah di samping itu ia juga kurang terproses dan dalam bentuk asalnya contohnya beras, ubikayu, keledek, keladi, kentang dan sebagainya.

Kajian ini juga mendapati makanan moden yang rendah serat dan tinggi karbohidrat halus akan menggalakkan pertumbuhan bakteria jahat yang menghasilkan bahan-bahan yang menyebabkan keradangan bertambah dalam tubuh kita. Ini akan meningkatkan risiko obesiti dan masalah keradangan usus yang kronik.

Kajian menunjukkan manusia zaman dahulu mengambil karbohidrat yang tinggi serat, tidak di proses selama berabad-abad lamanya dalam bentuk rerumput bijirin wholegrain, beras perang, ubi-ubian dan buah-buahan.

Masalah utama dalam zaman moden sekarang adalah kita mengambil terlalu banyak karbohidrat halus (refine carbs) ini yang mana hampir semua seratnya telah di buangkan semasa proses pengilangan. Ia menjadikan rasanya sedap dan enak serta halus apabila di makan.

Serat penting dalam makanan kerana ia membuatkan kita rasa kenyang lebih cepat, mengawal paras glukosa darah kerana ia menurunkan nilai GI makanan tersebut dan serat juga adalah prebiotik iaitu makanan kepada bakteria baik probiotik dalam usus kita.

Apabila makanan berserat itu di buang seratnya maka semua khasiat serat ini akan hilang daripada makanan tersebut.

Terdapat banyak kajian menunjukkan pengambilan karbohidrat halus dan terproses seperti tepung gandum, tepung beras, tepung jagung dan gula putih sebenarnya yang menyebabkan masalah keradangan kronik yang menjadi punca pelbagai jenis penyakit kronik NCD.

Kajian menunjukkan pengambilan karbohidrat halus yang tidak berkhasiat iaitu tanpa mikronutrisi (vitamin dan mineral) boleh menyebabkan masalah keradangan kronik dan masalah rintangan insulin di kalangan kanak-kanak sebelum baligh dan remaja selepas umur baligh walaupun berat badan mereka bukan lah dalam kategori obes.

Satu lagi kajian menunjukkan pengambilan makanan karbohidrat halus ini dan genetik menjadi punca kepada masalah keradangan usus yang kronik (IBD).

Oleh itu jelas terbukti bahawa karbohidrat halus seperti tepung gandum menyebabkan keradangan usus dan menyebabkan penyakit kronik seperti IBD (Inflammatory Bowel Disease).

Karbohidrat halus ini mempunyai nilai indeks glisemik (GI) yang tinggi berbanding dengan makanan yang kurang terproses dan seratnya masih ada. Makanan dengan nilai GI tinggi akan memuncakkan paras glukosa darah berbanding makanan dengan GI rendah dan sederhana.

Kajian menunjukkan orang tua dewasa yang melaporkan pengambilan paling tinggi makanan dengan nilai GI tinggi mempunyai 2.9 kali ganda lebih tinggi risiko kematian akibat penyakit akibat keradangan seperti penyakit keradangan paru-paru (COPD) seperti bronkitis kronik dan emfisima.

Dalam satu kajian kawalan rawak, lelaki dewasa yang sihat yang mengambil 50 gram karbohidrat halus dalam bentuk roti putih mengalami paras glukosa yang lebih tinggi dan berlaku peningkatan paras penanda keradangan dalam darah.

Makanan yang tinggi karbohidrat halus adalah seperti roti putih, pasta, mee, pastri, kek, biskut, cereal, gula-gula, cokelat, minuman manis bergula tinggi dalam botol/tin/kotak dan semua makanan proses yang dibuat menggunakan tepung gandum dan gula tambahan.

5. DAGING PROSES

Makanan berasaskan daging yang di proses seperti burger, hotdog, nugget dan ketulan ayam bersalut tepung amat lah popular sekarang. Ia sangat mudah di sediakan dan rasanya juga enak selepas di masak.

Kajian menunjukkan pengambilan makanan daging proses seperti ini meningkatkan kadar keradangan dan risiko penyakit jantung koronari, diabetes, kanser perut dan kanser usus .

Kajian menunjukkan daging proses ini mengandungi bahan AGE (advance glycation endproduct) berbanding daging segar biasa.

AGE terjadi apabila kita memasak daging dan makanan lain pada suhu tinggi yang mana apabila di makan menyebabkan keradangan tinggi dalam tubuh dan meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular .

Kajian menunjukkan kaitan yang sangat kuat diantara pengambilan makanan daging proses dengan penyakit kanser kolon atau kanser usus besar.

Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada penyakit kanser kolon ini tetapi, faktor respon keradangan kepada sel-sel di dinding dalam usus besar adalah faktor yang paling utama menurut pendapat saintis

Keradangan kronik adalah faktor yang utama dalam terjadinya pelbagai penyakit kronik berdasarkan banyak kajian terkini.

Keradangan berlaku sebagai satu respon kepada pelbagai faktor seperti pemakanan yang salah, stres, merokok, pencemaran, logam berat, kecederaan dan jangkitan kuman.

Kita boleh mengawal masalah keradangan kronik ini dengan mengambil makanan tertentu yang bersifat anti-keradangan, bersenam secukupnya, mengawal stres dan mengelakkan pencemaran dan toksin, insyaallah.

Leave a Reply